Friday, February 18, 2011

Guru, Ilmu dan Budi versus ‘Body’

Guru adalah pihak yang sangat berpengaruh kepada perkembangan hidup seorang kanak-kanak. Ia adalah jendela awal untuk kanak-kanak mengenali dunia realiti selepas ibu bapa.
Inilah sebabnya peranan guru adalah MAHA besar. Di tangannya personaliti dan sebahagian masa depan pelajar dibentuk. Di tangannya jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) kanak-kanak dipengaruhi dan ditempa. Gurulah yang menentukan iklim soso-emosi pelajar sama ada menjadi positif atau negatif.
Dalam hal ini Haim Ginott menyatakan :
“I have come to the frightening conclusion that I am the decisive element in the classroom. It’s my personal approach that creates the climate…. As a teacher, I possess a tremendous power to make a child’s life miserable or joyous. I can be a tool of torture or an instrument of inspiration.”
Hal ini lebih ketara di peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Maksudnya alam persekolahan pra-sekolah atau pendidikan awal kanak-kanak sebagai tahap paling awal pendidikan rasmi kanak-kanak. Di tahap ini anak-anak adalah ‘rebung’ yang mudah dan boleh dibentuk mengikut acuan yang kita tentukan.
Ingat lagi pepatah Melayu pusaka kita :
‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Sebab itu remaja sukar untuk dibentuk apabila usianya menjangkau 18-19 tahun kerana ia sudah menjadi ‘buluh’. Masakan tidak! Mereka sudah mempunyai sikap dan watak yang semakin kukuh. Pemikiran sudah berkembang ke tahap yang semakin matang. Mereka bukan mudah untuk diperintah atau ditunjuk ajar. Mereka kini memilih kehidupan bukan ditentukan kehidupannya oleh guru mahu pun ibu bapa.
Jadi guru mestilah mempunyai kecelikan dan kesedaran tentang amanah untuk mewarnai hidup seorang insan. Justeru dia mesti sedar ‘warna’ yang dipilih akan menentukan ‘warna’ peribadi, pemikiran dan kepercayaan anak murid. Ibarat kain putih – fitrah yang neutral ini – ia terpulang kepada guru – selepas ibu bapa – untuk mencorakkannya.
Sebagai tambahan  bagi mengukuh dan mendalamkan kesan kehadiran guru dalam kehidupan kanak-kanak , guru mestilah kaya ilmu dan sarat budinya. Adapun penampilan ‘body’ mengambil prioriti nombor dua atau tiga.
Ilmu dan budi sebagai elemen yang abstrak adalah nilai dan pemberat kepada timbangan amal. Kesannya lebih membekas kepada pemikiran dan pembentukan sahsiah insan.
Kecantikan ‘body’ seperti dilahirkan cantik atau tampan hanyalah bonus kepada penampilan guru. Yang lebih asas ialah penampilan yang kemas, bersopan dan kelihatan bersih BUKANnya kelihatan cantik atau segak tampan.
Kita memahami apabila semua orang sukakan kepada kecantikan dan ingin memiliki kecantikan. Ini fitrah insan. Tetapi apabila kecantikan ‘body’ lebih diutamakan menyebabkan ia akan wujud secara ‘superficial’ (di permukaan sahaja).
Ini kerana penggunaan kosmetik boleh menjadi berlebih-lebihan hingga akhirnya wajah dan warna kulit berubah. Sesetangah kecantikan pula dicipta secara ‘artificial’ (palsu) melalui ‘plastic surgery’ atau suntikan.
Malangnya kecantikan kosmetik adalah ‘deceptive’ (menipu). Dan ia melibatkan kos yang bukan murah!
Oleh itu, guru mestilah lebih menonjolkan budi daripada ‘body’ ketika bersama anak-anak muridnya.
Tidak seperti mencantikkan ‘body’ usaha memperelokkan budi tidak memerlukan kos wang ringgit. Sebaliknya ia memerlukan ketekunan, kesabaran dan berhajat kepada masa yang panjang. Dalam keadaan tertentu ia memerlukan pengalaman rohani bagi menyuci jiwa. Justeru, ia sukar.
Akan tetapi kerana kesan positifnya yang sangat dalam maka guru mesti berusaha menawani anak-anak murid dengan kebijaksanaan dan keluasan ilmu. Pikatlah hati dan perasaan mereka  dengan budi yang luhur dan kasih yang tidak bertepi.
Jangan hantar isyarat yang salah kepada anak-anak murid apabila menampilkan susuk ‘body’ yang menawan kerana – secara perlahan-lahan -  ‘body’ adalah ‘warna’ yang akan menggelapkan jiwa dan meluruhkan iman yang sedang diasuh.
Ini pada saya adalah satu kemungkinan yang boleh terjadi. Pilihan di tangan anda sendiri apabila anda memilih menjadi seorang guru.
Wallahua’lam

No comments:

Post a Comment